Kerjasama strategik perkukuh agenda tenaga hijau
News / July 12, 2025
ALOR SETAR: Kerajaan negeri terus memperkukuh komitmennya dalam menjadikan Kedah sebagai peneraju utama sektor tenaga hijau dan lestari di rantau ini.
Kesungguhan itu diterjemahkan menerusi pemeteraian perjanjian kerjasama strategik antara Kester Sdn Bhd, anak syarikat Invest Kedah Berhad dan Hualang Energy Sdn Bhd.
Majlis menandatangani perjanjian tersebut telah disaksikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Negeri, Dr Haim Hilman Abdullah, di sini pada Selasa, 8 Julai lalu.
Menurut beliau, kerjasama ini diyakini mampu melonjakkan lagi pembangunan tenaga boleh baharu di negeri Kedah.
“Melalui perjanjian ini, akan dibangunkan Loji Hidrogen Hijau berkapasiti 1,200 tan setahun serta Loji Solar Terapung berskala besar berkapasiti 10 megawatt (MW).
“Projek ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk membangunkan sumber tenaga yang bersih dan lestari,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kester Sdn Bhd telah diberikan mandat sepenuhnya untuk menerajui pembangunan sektor tenaga boleh baharu di Kedah, termasuk tenaga solar, biojisim, hidrogen serta inisiatif kredit karbon.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Hualang Energy atas komitmen dan kepercayaan dalam menjalin kerjasama ini.
“Diharapkan usaha ini menjadi pemangkin kepada era baharu pembangunan Kedah yang lebih hijau dan berdaya tahan untuk generasi akan datang,” katanya lagi.
Ketua Pegawai Operasi Invest Kedah Berhad, Noor Ikhsan Abdul Aziz berkata, projek utama sedang dirancang Kester, antaranya termasuk pembangunan Ladang Solar berkapasiti 5 gigawatt (GW) yang melibatkan kawasan di Bukit Kayu Hitam, Gurun dan Kuala Ketil.
“Selain itu, projek Solar Terapung dengan kapasiti keseluruhan 150 megawatt (MW) juga dirancang untuk dibangunkan di Tasik Ah Ning dan Tasik Beris.
“Dalam masa sama, sebuah Loji Janakuasa Biojisim berkapasiti 40MW yang akan menggunakan sumber buluh tempatan turut dalam perancangan.
“Tambahan pula, projek perintis hidrogen hijau yang akan dibangunkan pada skala antarabangsa merupakan antara tumpuan utama yang diyakini mampu meletakkan Kedah dalam peta tenaga hijau dunia,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/7/2025
Sumber: https://harakahdaily.net/2025/07/kerjasama-strategik-perkukuh-agenda-tenaga-hijau/